• Amin Ya Rabbal Alamin

    Amin Ya Rabbal Alamin

    Amin Ya Rabbal Alamin. Setiap manusia hidup dalam pelbagai alam. Apabila kita mula wujud di dalam rahim ibu, kita berada di Alam Rahim. Apabila kita dilahirkan, kita berada di Alam Dunia dan apabila kita dimatikan nanti, kita akan berada di Alam Kubur sementara menunggu masa untuk ke alam seterusnya. Maka manusia adalah makhluk pengembara dari satu alam ke alam yang lain.

    Jika kita lihat lebih mendalam semasa di Alam Dunia pula, manusia akan melalui pelbagai peringkat kehidupan yang juga dipanggil alam, Alam Bayi, Alam Kanak-kanak, Alam Remaja, Alam Pekerjaan, Alam Dewasa, Alam Hari Tua. Manusia juga hidup di pelbagai lokasi geografi yang memiliki ciri-ciri iklim, sosiopolitik, budaya dan bahasa yang berlainan. Ini juga dipanggil alam, Alam Melayu, Alam Nusantara, Alam Barat dan lain-lain lagi. Alam juga merujuk kepada dunia yang dapat kita alami dengan pancaindera iaitu Alam Nyata dan yang tidak dapat kita gapai iaitu Alam Ghaib. Dan yang terkini kita banyak berurusan atau berhubung di Alam Maya, juga dipanggil alam.

    Kita juga boleh beralih dari satu alam ke alam tertentu seperti dari Alam Nyata ke Alam Maya, dari Alam Melayu ke Alam Barat. Namun kita tidak mampu beralih dari Alam yang melibatkan masa seperti peringkat kehidupan atau zaman.

    Alam dan Manusia

    Setiap alam melibatkan perhubungan antara seseorang manusia dengan manusia yang lain serta makhluk di persekitarannya. Contohnya semasa di Alam Rahim, manusia tinggal di dalam kantung rahim dan berhubung dengan ibunya untuk makanan, ilmu dan juga emosi. Semasa di alam kanak-kanak pula, perhubungan dijalinkan dengan kanak-kanak yang lain dan guru-guru untuk ilmu serta pembangunan jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Begitu juga dengan alam remaja, alam pekerjaan, alam dewasa dan alam hari tua. Jika kita lihat untuk alam yang berdasarkan kepada lokasi atau kedudukan geografi pula setiap manusia mengalami dan berinteraksi dengan masyarakat, bahasa, bangsa dan budaya yang bersangkutan dengan alam tersebut.

    Mutakhir ini, kebanyakan manusia hidup di dalam dua alam, Alam Nyata dan Alam Maya. Kita mempunyai keluarga, kenalan, pekerjaan, kehidupan di alam nyata dan kita juga mempunyai kenalan yang lebih ramai, mungkin juga pekerjaan sampingan, dan menjalani kehidupan kita di Alam Maya.

    Tuhan Sekalian Alam

    Seperti manusia, alam juga adalah satu kejadian yang kompleks. Alam terdiri daripada pelbagai makhluk dan unsur yang saling berinteraksi antara satu sama lain tanpa henti. Sudah pasti juga ada dzat yang menciptakannya sehinggakan alam-alam ini wujud dari dulu sehingga ke hari ini. Dan nyatalah dzat itu adalah Allah yang mencipta dan memiliki sekalian-nya. Dia yang menyediakan alam ini untuk umat manusia sebagai satu pengembaraan antara alam dan ke alam-alam yang berikutnya sehingga kita bertemu-Nya.

    Sebagai Tuhan pencipta dan pemilik sekalian alam, Allah jugalah yang menjaga dan memeliharanya. Jika kita perhatikan, setiap alam memiliki keperluan-nya yang tersendiri seperti makanan, pendidikan, perubatan, dan lain-lain lagi. Pada setiap zaman Allah memelihara alam ini dengan menyediakan makanan yang cukup walaupun jumlah penghuni alam ini bertambah dari hari ke hari. Dari segi pendidikan pula, pada setiap zaman ada manusia yang mengajarkan ilmu yang diperlukan dari ilmu untuk bercucuk tanam, berdagang, membaca, dan lain-lain lagi. Dari segi perubatan, pada setiap zaman juga ada manusia yang mengubati dari dukun, bomoh, dan kini doktor. Allah memelihara dan mencukupkan sekalian alam.

    Justeru, alam ialah tanda kewujudan Allah sebagai dzat Yang Mencipta, Yang Memiliki dan Yang Menguruskan alam semesta ini. Kepada-Nya kita pohon petunjuk dan hidayah agar kita berjaya dalam mengharungi apa yang kita alami pada ketika ini. Amin, Ya Rabbal Alamin.

    Rujukan

    1. Tafsir Surah Al-Fatihah #04 : Arti Bismillahirrahmanirrahim & Alhamdulillahi rabbil alamin: https://youtu.be/-27SAS88hK4?si=BN-aHOhc5iUTftzD
    2. 28 Nov 2019|Surah Al – Fatihah ayat 1 – 2||Ustaz Abd Muein Abd Rahman: https://youtu.be/Q2b_miwvRZQ?si=BtoRpI9tL267wRnX
    3. In Depth Analysis and Tafseer of Surah Fatiha I Nouman Ali Khan: https://youtu.be/mRcD6icmMRI
    4. Timeline of World History | Major Time Periods & Ages: https://youtu.be/__BaaMfiD0Q
    5. Islamic Prophets Family Tree | The Bible and Quran Compared: https://youtu.be/XRvAwAAjYHU
    6. US and World Population Clock: https://www.census.gov/popclock/
    7. List of countries and dependencies by population: https://en.wikipedia.org/wiki/List_of_countries_and_dependencies_by_population
    8. Senarai bahasa mengikut bilangan penutur asli: https://ms.wikipedia.org/wiki/Senarai_bahasa_mengikut_bilangan_penutur_asli
    9. Eduwebtv : SEJARAH Tingkatan 4 – Proses Pembentukan Tamadun: Indus: https://youtu.be/0WVIWTDlX-4

  • Allah Ar-rahman Ar-rahim telah mempercukupkan kita sejak dari rahim ibu

    Ar-Rahman Ar-Rahim

    Allah menciptakan manusia dengan penuh kasih sayang. Dari detik pertama kewujudan di dalam rahim ibu, kita telah dipercukupkan dengan segala keperluan dari segi fizikal dan mental. Kita dikurniakan rezeki yang secukupnya supaya mampu hidup dalam rahim ibu dengan penuh kasih sayang-Nya dan juga kasih sayang ibu yang diilhamkan oleh-Nya jua. Kita di perlengkapkan bagi menghadapi kehidupan di dunia ini.

    Setelah lahirnya pula di dunia ini, Allah s.w.t tidak henti mencurahkan kasih sayang-Nya kepada kita. Dilahirkan kita dalam penjagaan dan kasih-sayang seorang ibu dan dilengkapkan pula dengan kasih sayang seorang bapa dan ahli keluarga yang lain. Semua perasaan kasih sayang ini diwujudkan dan diilhamkan oleh Allah untuk membesarkan dan menyokong kita untuk menghadapi kehidupan di dunia ini.

    Kemudian Allah telah menyediakan dunia ini sebagai kemudahan untuk kita bagi menghadapi kehidupan. Kemudahan yang disediakan terdiri dari perkara yang dapat digapai oleh pancaindera kita malahan yang tidak dapat dilihat atau disentuh. Sebagai contoh untuk hidup, manusia memerlukan oksigen, air dan makanan. Oksigen disediakan oleh Allah secara percuma, kadarnya cukup untuk seluruh umat manusia dari dahulu kini hingga ke hari akhirat nanti. Begitu juga dengan air, Allah telah menyediakan pelbagai sumber air di dunia ini untuk umat manusia. Makanan juga tersedia dari jenis tumbuhan dan haiwan. Banyak lagi kemudahan yang tidak mampu kita senaraikan kesemuanya untuk memenuhi keperluan dan kehendak seluruh manusia dalam meniti kehidupan di dunia ini. Semua ini adalah bukti kasih-sayang Allah, Ar-Rahman Ar-Rahim.

    Maksud Ar-Rahman

    Allah mengajarkan kita tentang nama-Nya Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang berasal dari kata dasar yang sama, rahmat yang bermaksud kasih sayang. Nama ini juga telah dipilih oleh Allah untuk rahim ibu dimana Dia memulakan kasih sayang-Nya bagi setiap umat manusia. Namun, apakah beza-nya antara Ar-Rahman dan Ar-Rahim?

    Walaupun kedua-dua nama ini berasal dari kata dasar yang sama, Ar-Rahman dan Ar-Rahim membawa maksud berbeza di dalam bahasa Arab. Ar-Rahman bermaksud kasih-sayang yang luar biasa yang berlaku sekarang ketika kita amat memerlukannya tetapi sementara. Sebagai seorang manusia kita sentiasa fokus kepada keperluan kita yang mendesak pada sesuatu ketika tanpa menghiraukan keperluan pada masa hadapan.

    Sebagai contoh, jika kita lapar sekarang kita hanya memikirkan apa yang perlu kita makan pada ketika ini tanpa memikirkan apakah menu makanan di sepanjang minggu. Satu contoh lagi, apabila kita tidak memiliki sebarang wang di saku kita sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan tanpa memilih sama ada ia mengikuti cita rasa kita ataupun tidak. Seringkali keperluan kita ini dicukupkan Allah dengan memberikan kita rezeki mahupun jalan keluar kepada sebarang permasalahan kita ketika itu. Nah, sifat kasih sayang Allah yang mencukupkan kita dengan memberikan kita rezeki ketika kita memerlukan itu dinamakan dengan Ar-Rahman.

    Maksud Ar-Rahim

    Tetapi mesti diingati bahawa sifat Ar-Rahman ini hanyalah bersifat sementara untuk ketika itu sahaja. Bahkan boleh dikatakan ia hanya bersifat sementara di kehidupan kita di dunia ini sahaja yang juga bersifat sementara. Di sinilah wujudnya sifat kasih sayang Allah, Ar-Rahim yang bersifat berpanjangan dan sentiasa sehingga ke akhirnya. Ia berpanjangan sehingga saat kita bertemu Allah di akhirat nanti. Di mana kasih sayang-Nya kepada hamba-Nya yang beriman dikurniakan syurga, manakala yang kufur akan diberikan pembalasan yang seadilnya. Justeru bolehlah dikatakan sifat kasih-sayang Allah, Ar-Rahman untuk sekian makhluknya di dunia ini yang sementara, manakala sifat kasih sayang Allah, Ar-Rahim untuk hamba-hamba-Nya yang beriman sehingga ke hari akhirat kelak.

    Maka, terserah kepada kita sama ada hanya ingin mengecapi kasih sayang Allah, Ar-Rahman yang sementara di dunia ini sahaja atau mahu berada dalam kasih sayang Allah, Ar-Rahman Ar-Rahim yang meliputi kehidupan kita di dunia sehingga ke akhirat nanti. Untuk itu, kita harus terus belajar mendalami Al-Quran supaya kita lebih jelas bagaimanakah untuk mendapatkan kasih sayang Allah sepenuhnya.

    Rujukan:

    1. Al-Rahman Al-Raheem, Nouman Ali Khan: https://youtu.be/ErpXMOBOBDQ
    2. Proses Perkembangan Janin Dalam Rahim Ibu: https://youtu.be/JbBOFgZJIIA
    3. Tafsir ayat Ar-Rahmanir Rahim – Ust. Adi Hidayat: https://youtu.be/kNhbNB4fuTs
    4. Apa Maksud Rahmat, Ustaz Jafri Abu Bakar: https://youtu.be/7TGaJAGsk8E
  • Allah yang menciptakan manusia

    Siapakah Allah?

    Sebelum kita mengenali siapakah Allah, kita perlu terlebih dahulu mengenali siapakah kita? Setiap manusia dilahirkan hasil perkahwinan antara pasangan suami dan isteri. Setiap manusia memiliki ibu bapa dan ibu bapa umat manusia ialah Nabi Adam (a.s) dan Hawa. Mereka tidak dilahirkan melalui perkahwinan tetapi melalui ciptaan. Mereka telah dicipta dan daripada mereka seluruh keturunan manusia mewarisi segala genetik dan DNA mereka sehingga ke hari ini.

    Manusia yang kompleks dengan kemampuan luar biasa

    Manusia adalah satu organisma yang begitu kompleks, dibina dari berbilion sel, tisu, dan organ yang terdiri dari pelbagai jenis dan fungsi. Ia juga dikawal oleh pelbagai sistem tubuh badan yang beroperasi secara “synchronized” dan automatik. Tiada butang “start” diperlukan dan ia berfungsi sehingga akhir hayat seseorang manusia. Dari segi kemampuan pula, manusia mampu mempelajari sesuatu perkara dan menghasilkan sesuatu yang baru dari kekuatan daya fikiran. Lihatlah kemajuan yang telah dicapai oleh umat manusia sehingga kini, banyak perkara yang tidak difikirkan oleh akal dahulunya kini adalah perkara kebiasaan dalam kehidupan.

    Siapakah pencipta manusia?

    Kompleksiti dan kemampuan manusia yang luar biasa ini tiada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk lain di bumi ini. Namun siapakah yang mencipta manusia yang sungguh luar biasa kejadiannya ini? Tidak mungkin manusia terjadi dengan sendirinya hasil evolusi debu-debu bersatu seperti bersatunya unsur-unsur geologi menjadi batu-batu yang indah. Tambahan pula, batu-batu sedemikian tidaklah sekompleks manusia. Sudah pasti satu dzat yang lebih agung dan lebih hebat dari manusia menciptakan ia.

    Menurut wahyu-wahyu yang konsisten diturunkan kepada para rasul dan nabi dari zaman Nabi Adam (a.s.) sehinggalah Nabi Muhammad (s.a.w) kepada semua bangsa dan meliputi segenap zaman, pencipta manusia ialah Allah, Tuhan Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya.

    Allah mencipta manusia dan juga mencipta dunia ini sebagai tempat tinggal sementara untuk umat manusia sebelum seluruh manusia bertemu semula dengan-Nya. Dia bukan sahaja mencipta manusia, malah mencipta malaikat, iblis, jin, dan pelbagai makhluk. Mengapa manusia dijadikan dan kemanakah seluruh umat manusia seterusnya bakal kita telusuri dalam topik-topik yang akan datang dalam pengembaraan memahami dan menghayati isi kandungan Al-Quran, kitab panduan Allah untuk seluruh umat manusia dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

    Rujukan:

    1. Who is Allah? Mufti Menk: https://www.youtube.com/watch?v=wFCoIplrEu4&t=1602s
    2. Human Body: https://youtu.be/Ae4MadKPJC0
    3. Human Cells and Tissues: https://bio.libretexts.org/Bookshelves/Human_Biology/Book%3A_Human_Biology_(Wakim_and_Grewal)/10%3A_Introduction_to_the_Human_Body/10.3%3A_Human_Cells_and_Tissues

  • Dengan lafaz bismillah kita mulakan segala

    Bismillah

    Bismillah, dengan nama Allah yang telah menciptakan kita dengan penuh kasih sayang dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Nya. Allah telah menciptakan kita dari dalam rahim ibu, kemudian dilahirkan ke dunia ini yang cukup dengan segala kemudahan. Di sinilah kita tinggal sehingga kita bertemu dengan Allah pada hari akhirat nanti.

    Allah juga telah memulakan kitab suci Al-Quran dengan kalimah “bismillah”. Dengan nama-Nya, Ar-Rahman dan Ar-Rahim, menerangkan kepada kita bahawa kehidupan kita di dunia ini serta panduan yang diberikan-Nya adalah ihsan kasih sayang Allah s.w.t.

    Allah juga mengajarkan kita untuk memulakan sebarang perlakuan kita dengan kalimah “bismillah”. Dengan menyebut nama-Nya pada setiap awal perlakuan, kita menyatakan bahawa segala perlakuan yang kita lakukan adalah hanya untuk-Nya dengan harapan Allah menerimanya sebagai satu ibadah daripada kita.

    Apabila kita memulakan sesuatu perlakuan dengan kalimah bismillah, kita juga dapat merasakan kehadiran Allah bersama kita mengawasi, membimbing dan menilai segala tindak tanduk kita. Justeru, menjadikan kita lebih berhati-hati dan juga yakin Allah pasti memelihara dan melindungi kita berkat kasih sayang-Nya.

    Semoga kita mendapatkan manfaat dengan berkat kasih sayang Ar-Rahman di dunia ini dan mendapat ganjaran ibadah berkat kasih sayang Ar-Rahim di akhirat nanti.

    Dengan kalimah “bismillah” jua saya memulakan laman ini sebagai tempat perkongsian segala ilmu dan kefahaman mengenai isi kandungan Al-Quran. Besar harapan saya agar ia dapat menjadi laman diskusi yang dapat memberi manfaat kepada semua. Ia juga sebagai pesanan bagi diri saya, keluarga, saudara-mara serta kenalan sehingga ke hari akhirat. Semoga kita semua sentiasa berada dalam rahmat kasih sayang Ar-Rahman Ar-Rahim. Insya-Allah.

    Rujukan

    1. Al-Rahman Al-Raheem, Nouman Ali Khan: https://youtu.be/ErpXMOBOBDQ
    2. Tafsir ayat Ar-Rahmanir Rahim – Ust. Adi Hidayat: https://youtu.be/kNhbNB4fuTs
    3. Tafsir Al Fatihah Ayat 1 Nouman Ali Khan: https://youtu.be/SomMvSQSZ60
    4. Dahsyatnya Kalimah Bismillah – Ustadz Adi Hidayat: https://youtu.be/R8jNWNNafx8?si=L3lCdz3tS0vuPkZs
    5. Rahasia di Balik Bismillah – Ustadz Adi Hidayat: https://youtu.be/saAferEZMUE?si=gcTxR86tAIASCzf9