
Ar-Rahman Ar-Rahim
Allah menciptakan manusia dengan penuh kasih sayang. Dari detik pertama kewujudan di dalam rahim ibu, kita telah dipercukupkan dengan segala keperluan dari segi fizikal dan mental. Kita dikurniakan rezeki yang secukupnya supaya mampu hidup dalam rahim ibu dengan penuh kasih sayang-Nya dan juga kasih sayang ibu yang diilhamkan oleh-Nya jua. Kita di perlengkapkan bagi menghadapi kehidupan di dunia ini.
Setelah lahirnya pula di dunia ini, Allah s.w.t tidak henti mencurahkan kasih sayang-Nya kepada kita. Dilahirkan kita dalam penjagaan dan kasih-sayang seorang ibu dan dilengkapkan pula dengan kasih sayang seorang bapa dan ahli keluarga yang lain. Semua perasaan kasih sayang ini diwujudkan dan diilhamkan oleh Allah untuk membesarkan dan menyokong kita untuk menghadapi kehidupan di dunia ini.
Kemudian Allah telah menyediakan dunia ini sebagai kemudahan untuk kita bagi menghadapi kehidupan. Kemudahan yang disediakan terdiri dari perkara yang dapat digapai oleh pancaindera kita malahan yang tidak dapat dilihat atau disentuh. Sebagai contoh untuk hidup, manusia memerlukan oksigen, air dan makanan. Oksigen disediakan oleh Allah secara percuma, kadarnya cukup untuk seluruh umat manusia dari dahulu kini hingga ke hari akhirat nanti. Begitu juga dengan air, Allah telah menyediakan pelbagai sumber air di dunia ini untuk umat manusia. Makanan juga tersedia dari jenis tumbuhan dan haiwan. Banyak lagi kemudahan yang tidak mampu kita senaraikan kesemuanya untuk memenuhi keperluan dan kehendak seluruh manusia dalam meniti kehidupan di dunia ini. Semua ini adalah bukti kasih-sayang Allah, Ar-Rahman Ar-Rahim.
Maksud Ar-Rahman
Allah mengajarkan kita tentang nama-Nya Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang berasal dari kata dasar yang sama, rahmat yang bermaksud kasih sayang. Nama ini juga telah dipilih oleh Allah untuk rahim ibu dimana Dia memulakan kasih sayang-Nya bagi setiap umat manusia. Namun, apakah beza-nya antara Ar-Rahman dan Ar-Rahim?
Walaupun kedua-dua nama ini berasal dari kata dasar yang sama, Ar-Rahman dan Ar-Rahim membawa maksud berbeza di dalam bahasa Arab. Ar-Rahman bermaksud kasih-sayang yang luar biasa yang berlaku sekarang ketika kita amat memerlukannya tetapi sementara. Sebagai seorang manusia kita sentiasa fokus kepada keperluan kita yang mendesak pada sesuatu ketika tanpa menghiraukan keperluan pada masa hadapan.
Sebagai contoh, jika kita lapar sekarang kita hanya memikirkan apa yang perlu kita makan pada ketika ini tanpa memikirkan apakah menu makanan di sepanjang minggu. Satu contoh lagi, apabila kita tidak memiliki sebarang wang di saku kita sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan tanpa memilih sama ada ia mengikuti cita rasa kita ataupun tidak. Seringkali keperluan kita ini dicukupkan Allah dengan memberikan kita rezeki mahupun jalan keluar kepada sebarang permasalahan kita ketika itu. Nah, sifat kasih sayang Allah yang mencukupkan kita dengan memberikan kita rezeki ketika kita memerlukan itu dinamakan dengan Ar-Rahman.
Maksud Ar-Rahim
Tetapi mesti diingati bahawa sifat Ar-Rahman ini hanyalah bersifat sementara untuk ketika itu sahaja. Bahkan boleh dikatakan ia hanya bersifat sementara di kehidupan kita di dunia ini sahaja yang juga bersifat sementara. Di sinilah wujudnya sifat kasih sayang Allah, Ar-Rahim yang bersifat berpanjangan dan sentiasa sehingga ke akhirnya. Ia berpanjangan sehingga saat kita bertemu Allah di akhirat nanti. Di mana kasih sayang-Nya kepada hamba-Nya yang beriman dikurniakan syurga, manakala yang kufur akan diberikan pembalasan yang seadilnya. Justeru bolehlah dikatakan sifat kasih-sayang Allah, Ar-Rahman untuk sekian makhluknya di dunia ini yang sementara, manakala sifat kasih sayang Allah, Ar-Rahim untuk hamba-hamba-Nya yang beriman sehingga ke hari akhirat kelak.
Maka, terserah kepada kita sama ada hanya ingin mengecapi kasih sayang Allah, Ar-Rahman yang sementara di dunia ini sahaja atau mahu berada dalam kasih sayang Allah, Ar-Rahman Ar-Rahim yang meliputi kehidupan kita di dunia sehingga ke akhirat nanti. Untuk itu, kita harus terus belajar mendalami Al-Quran supaya kita lebih jelas bagaimanakah untuk mendapatkan kasih sayang Allah sepenuhnya.
Rujukan:
- Al-Rahman Al-Raheem, Nouman Ali Khan: https://youtu.be/ErpXMOBOBDQ
- Proses Perkembangan Janin Dalam Rahim Ibu: https://youtu.be/JbBOFgZJIIA
- Tafsir ayat Ar-Rahmanir Rahim – Ust. Adi Hidayat: https://youtu.be/kNhbNB4fuTs
- Apa Maksud Rahmat, Ustaz Jafri Abu Bakar: https://youtu.be/7TGaJAGsk8E

