
Siapakah Allah?
Sebelum kita mengenali siapakah Allah, kita perlu terlebih dahulu mengenali siapakah kita? Setiap manusia dilahirkan hasil perkahwinan antara pasangan suami dan isteri. Setiap manusia memiliki ibu bapa dan ibu bapa umat manusia ialah Nabi Adam (a.s) dan Hawa. Mereka tidak dilahirkan melalui perkahwinan tetapi melalui ciptaan. Mereka telah dicipta dan daripada mereka seluruh keturunan manusia mewarisi segala genetik dan DNA mereka sehingga ke hari ini.
Manusia yang kompleks dengan kemampuan luar biasa
Manusia adalah satu organisma yang begitu kompleks, dibina dari berbilion sel, tisu, dan organ yang terdiri dari pelbagai jenis dan fungsi. Ia juga dikawal oleh pelbagai sistem tubuh badan yang beroperasi secara “synchronized” dan automatik. Tiada butang “start” diperlukan dan ia berfungsi sehingga akhir hayat seseorang manusia. Dari segi kemampuan pula, manusia mampu mempelajari sesuatu perkara dan menghasilkan sesuatu yang baru dari kekuatan daya fikiran. Lihatlah kemajuan yang telah dicapai oleh umat manusia sehingga kini, banyak perkara yang tidak difikirkan oleh akal dahulunya kini adalah perkara kebiasaan dalam kehidupan.
Siapakah pencipta manusia?
Kompleksiti dan kemampuan manusia yang luar biasa ini tiada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk lain di bumi ini. Namun siapakah yang mencipta manusia yang sungguh luar biasa kejadiannya ini? Tidak mungkin manusia terjadi dengan sendirinya hasil evolusi debu-debu bersatu seperti bersatunya unsur-unsur geologi menjadi batu-batu yang indah. Tambahan pula, batu-batu sedemikian tidaklah sekompleks manusia. Sudah pasti satu dzat yang lebih agung dan lebih hebat dari manusia menciptakan ia.
Menurut wahyu-wahyu yang konsisten diturunkan kepada para rasul dan nabi dari zaman Nabi Adam (a.s.) sehinggalah Nabi Muhammad (s.a.w) kepada semua bangsa dan meliputi segenap zaman, pencipta manusia ialah Allah, Tuhan Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya.
Allah mencipta manusia dan juga mencipta dunia ini sebagai tempat tinggal sementara untuk umat manusia sebelum seluruh manusia bertemu semula dengan-Nya. Dia bukan sahaja mencipta manusia, malah mencipta malaikat, iblis, jin, dan pelbagai makhluk. Mengapa manusia dijadikan dan kemanakah seluruh umat manusia seterusnya bakal kita telusuri dalam topik-topik yang akan datang dalam pengembaraan memahami dan menghayati isi kandungan Al-Quran, kitab panduan Allah untuk seluruh umat manusia dalam menjalani kehidupan di dunia ini.
Rujukan:
- Who is Allah? Mufti Menk: https://www.youtube.com/watch?v=wFCoIplrEu4&t=1602s
- Human Body: https://youtu.be/Ae4MadKPJC0
- Human Cells and Tissues: https://bio.libretexts.org/Bookshelves/Human_Biology/Book%3A_Human_Biology_(Wakim_and_Grewal)/10%3A_Introduction_to_the_Human_Body/10.3%3A_Human_Cells_and_Tissues

